Tuesday, 9 February 2016

FAHAMI ERTI SEBENAR PATRIOTISME



Patriotisme bererti perasaan dan sifat menyintai dan bersedia mempertahankan tanah air. Patriotisme bukan sekadar mengibar bendera ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan atau beruniform kemas serta aksi berkawad dengan gaya segak dan wajah serius. Ia suatu komitmen, perasaan mendalam, semangat yang dihayati, menyerlah serta berkobar-kobar apabila dituntut keadaan.


patriotisme boleh ditafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan — ekonomi, politik, sosial, hubungan antarabangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang dan sebagainya. Sifat patriotik juga harus merangkumi usaha meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia, keadilan sosial, keamanan dan kesejahteraan sejagat.


Sejarah masa lampau adalah cermin masa depan kita. Kita banyak belajar daripada apa yang sudah berlaku pada masa lampau. Bangsa yang tidak mengetahui sejarahnya tidak mampu membangunkan masa depannya. Justeru, kita wajar menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan yang dikemudi oleh pejuang terdahulu supaya dapat menyumbang demi mencapai kejayaan pada masa depan.

Bagi memastikan semua warga dapat hidup aman dan sejahtera, kita semua mempunyai peranan masing-masing. Tidak kira sama ada sebagai pelajar, pendidik, mahupun pekerja biasa, kita ialah individu dan organisasi yang boleh memainkan peranan membangunkan negara.

Penghayatan terhadap erti kemerdekaan menuntut kita mengenali sejarah negara. Ia penting supaya kita dapat memperkukuh jati diri serta mengetahui cabaran yang boleh merentap dan memusnahkan kemerdekaan dan kedaulatan negara tercinta ini. 




No comments:

Post a Comment